Friday, September 26, 2008

Tsunami sepanjang ramadhan?

Ramadhan ini rakyat dihidangkan dengan pelbagai berita baik yang populis mahupun yang kurang enak didengar.Terkadang rakyat terpanggil untuk bertanya.Betolkah tentang rancanghan pengambilalihan kuasa???Kita seringkali mendengar reaksi dari kedua-dua belah pihak,Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.Pak Lah bersama barisan kabinetnya terus menerus menafikan kewujudan ahli MP nya untuk berhijrah ke pakatan sambil mengatakan kenyataan anwar sebagai mengarut & tidak diterima akal.Anwar bersama kepimpinan utama pakatan pula terus menyaksikan keyakinan untuk mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat.Fenomena ini sudah tentu menghasilkan pro-contra anrtara kedua-dua pihak tersebut.Abdullah dilihat seperti dalam keadaan terdesak untuk menghadapi tekanan dari MT UMNO untuk berundur awal selain tekanan dari Anwar untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.
Umum sudah tentu tidak dapat menafikan pengaruh serta rekod anwar sepanjang penglibatan beliau dalam kancah reformasi.Perjuangan Baling 1974 yang berjaya menyedarkan kerajaan walaupun terpaksa ditangkap di ISA.Laungan Reformasi 1998 menyaksikan ratusan ribu pengikut beliau berdemonstrasi menunjukkan simpati kepada anwar sudah tentu menjadi bukti betapa anwar sangat kuat pengaruhnya.Kejayaan strategi dalam PRU 12 menenggelamkan bahtera BN di lima buah negeri menjadi rekod mimpi ngeri pentadbiran Abdullah.Di saat tiada seorang pun menjangkakan kemenangan Pakatan sebegitu rupa,sebelum PRU 12 anwar dengan penuh optimis meramalkan pakatan akan merampas lima negeri tersebut.Keadaan ini sepatutnya menjadi iktibar kepada Abdullah untuk lebih berhati-hati dengan kenyataan anwar dan tidak mustahil Pakatan akan mengambil alih kerajaan persekutuan dalam masa terdekat ini.Malangnya Abdullah seolah-olah memandang remeh terhadap perkara tersebut dan Anwar nampaknya terus mara ke depan mencapai matlamat pakatan tanpa keraguan.

Namun disaat kepimpinan utama pakatan sudah mencapai persetujuaan dalam perancangan tersebut,ada sekelompok kecil pemimpin pakatan yang masih meragui serta tidak yakin dengan anwar.Kenyataan terbuka memanndang sinis terhadap anwar sudah tentu sedikit sebanyak akan melemahkan kekuatan yang sedia ada.
Di sautu sudut yang lain pula,aya berpandangan adalah tidak wajar islam itu disebarkan dengan terlalu tegas dan tanpa strategi yang hikmah.Perlaksanaan hukum syariah secara terburu-buru hanya mengundang fenomena fobia dikalangan penganut agama lain.Mereka akan mendapat impression awal yang negatif dan takut untuk mendekati islam.Justeru adalah wajar para pemimpin tersebut merancang dahulu sebaik mungkin dengan lebih berstrategi untuk menarik minat serta menjadi pemimpin yang kuat pengaruhnya yang akan diteladani rakyat.Pendekatan melaksanakan hukum mengharam sana sini secara terburu-buru menjadi pilihan sebahagian pemimpin apabila sudah mengambil alih sesebuah kerajaan negeri.Akibatnya hanya satu penggal berjaya dipertahankan.Ini sudah tentu merugikan islam umumnya.Alangkah lebih baik andai kita lebih menggunakan kaedah mewujudkan suasana islami serta kontemporari dalam dasar pentadbiran secara berperingkat.Kaedah ini lebih berhikmah ,lembut dan berpanjangan kesannya.Setelah kita melihat majoriti rakyat sudah yakin dengan cara islam barulah perlaksanaan hukum dijalankan secara berperingkat dan cermat.

Walau apapun natijahnya saya berpandangan ,dalam konteks politik sekarang pemimpin pakatan harus lebih kontemporari disamping mengekalkan jatidiri dan prinsip.Pakatan harus berjuang secara menyeluruh meliputi semua bangsa tanpa melakkan dasar-dasar perkauman.Kekayaan negara harus dinikmati bersama namun perkara- perkara seperti hak istimewa orang melayu ,bumiputerta,agama islam harus terpelihra.

Bantah ISA: Himpunan di depan Masjid Jamek hari ini

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER (SK) - Kezaliman ISA akan terus ditentang oleh rakyat, walau ketika bulan puasa dan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi sekiranya akta yang kejam itu masih terus digunakan.

Hari ini,satu perhimpunan akan diadakan yang dinamakan tuntutan raya mansuhkan ISA yang akan dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), di Masjid Jamek KL.

Pada jam 12 tengah hari ini, rakyat diminta untuk memberi solidariti bagi menghapuskan akta yang hanya digunakan untuk kepentingan Barisan Nasional dengan berpakaian merah atau hitam.

Esok pula, GMI serta beberapa organisasi anak muda akan mengajurkan protes yang dinamakan “Nyalakan cahaya untukmu”.

Protes ini akan berarak dari Pasar Seni dan akan menuju ke Dataran Merdeka dengan membawa tanglung.

Sumpah perlu dilaksanakan berdasarkan tuntutan Islam - PUM PP

Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUM PP) merujuk kepada isu sumpah (mubahalah) yang telah dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (pendakwa - mudda’i) berhubung pertuduhan liwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

PUM PP berpandangan adalah tidak wajar mempolitikkan isu sebegini dan pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Islam dan Syariah untuk kepentingan tertentu harus berhenti sama sekali dari berbuat demikian.

PUM PP menyarankan agar isu ini diselesaikan mengikut peraturan dan Syariat Islam sepertimana yang digariskan dalam undang-undang Syariah Islam jika benar pihak terbabit ikhlas mahu menyelesaikannya mengikut lunas-lunas Islam.

PUM PP menyatakan pendirian bahawa bersumpah dengan memegang al-Quran tidak ada dalam tradisi dan Syariat Islam dan tidak wajar dicampur-adukkan dalam sumpah yang dilakukan itu.

PUM PP juga menyatakan bahawa pendakwa (Saiful) tidak ada keperluan untuk melafazkan sumpah memandangkan beliau adalah di pihak yang membuat pertuduhan.

Dalam Syariat Islam, kes ini diklasifikasikan sebagai kes Hudud (dalam bab zina) dan pendakwa wajar membawa bukti mengikut Syarak bahawa perlakuan liwat berlaku dan perkara ini akan dibicarakan di mahkamah selaras kaedah feqah ‘al bayyinah alal mudda’i wal yaminu ala man ankara’ � pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti (empat orang saksi) manakala yang menafikan dikehendaki bersumpah.

Pada asasnya, Islam meletakkan peraturan yang jelas bagi memungkinkan keadilan dicapai melalui proses kehakiman dan pembuktian terlebih dahulu sebelum sebarang sumpah dilafazkan. Sumpah sebegini tidak wajar dilaksanakan sebelum proses kehakiman diselesaikan.

Perkara yang berlaku ini akan memberi kesan buruk antara lain kepada perlaksanaan sistem kehakiman Syariah di Malaysia apabila pada masa akan datang pelbagai pihak boleh menggunakan ini sebagai ‘precedent’ bagi mendahulukan sumpah terutama dalam kes li’an sebelum proses kehakiman dapat dilakukan.

Proses pembuktian dan pengadilan akan diketepikan dan pihak yang bersalah boleh memilih untuk menggunakan sumpah (yang tidak memerlukan pembuktian) bagi menyelamatkan diri dari penghukuman.

PUM PP menyeru semua pihak agar tidak menggunakan nama Islam dan Syariah tanpa mengikuti peraturan Syariah yang sebenarnya bagi tujuan politik ‘Machiavelli’ mahupun kepentingan peribadi.

PUM PP juga menyeru agar beberapa ulama dan agamawan untuk merujuk dan menerima pandangan ulama dan pakar lain sebelum membuat apa-apa kenyataan yang bakal memburukkan keadaan dan tidak memungkinkan proses keadilan dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan sempurna di negara.

Dalam hal ini dan apa juga masalah semua pihak digesa untuk merujuk kepada prinsip ta’awun seperti mana yang ditekan oleh al-Quran.

Penulis adalah Yang Dipertua PUM PP

Mencari Lailatulqadar yang belum ditemui

Ramadan berbaki beberapa hari lagi. Lima, 4, 3, 2, 1 dan Aidilfitri. Akhirnya Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka itu meninggalkan kita. Sebelum Ramadan ini berakhir, tiba-tiba terlintas di hati saya untuk mengisi kolum ini yang saya sudah tinggalkan sejak dua bulan lalu.
Iklan.Tentunya saya beralasan sibuk sejak Harakah terbit dua kali seminggu sejak pertengahan Ogos lalu. Tetapi pada akhir Ramadan ini, dalam kesibukan itu saya teruja membuat sedikit bakti dalam dunia penulisan ini, moga-moga ia ada manfaatnya dan dapat menolong saya di alam sana.
Kesedaran menulis datang selepas saya mendengar tazkirah zuhur hari ini (25 Ramadan/25 September). Pada kuliah itu, ustaz terbabit menyatakan jika keseronokan atau keasyikan Ramadan sudah menguasai jiwa barulah puasa kita membawa erti. Jika tidak, dikhuatiri puasa kita hanyalah sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau lebih tinggi sedikit iaitu menahan anggota diri daripada perkara-perkara bukan hak.
Bagaimana mahu mendatangkan keasyikan Ramadan? Ustaz itu mengkiaskan tingkah laku seorang peminat bola sepak, katakan penyokong tegar Perak. Penyokong ini bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kerana fanatiknya kepada pasukan Perak, di mana saja ada perlawanan membabitkan pasukan ini , akan dihadirinya. Jika pasukan Yob ditakdirkan bermain di Pulau Pinang, peminat tegar ini akan melakukan apa saja supaya dia dapat ke sana.
Kalau perlu menipu untuk mendapat cuti, dia akan lakukan. Kalau tiada kenderaan, yang ada cuma sebuah motosikal Cup, dia sanggup menunggang dari KL ke Ipoh atau Pulau Pinang. Panas, hujan malah sakit, tidak dipedulikannya. Yang penting dia mesti menyaksikan pemain Yob beraksi. Cintanya kepada pasukan Yob sudah menjadikan dia begitu. Dia sudah asyik dengan dunia bola dan Yobnya.
Bagaimana mahu asyik dengan Ramadan? Ini soalan sukar dijawab. Ustaz itu berkata, orang yang sudah asyik mahsyuk dengan Ramadan, tidak peduli apa lagi. Kuih raya ke, baju raya ke, duit raya ke, semuanya tidak ada dalam kamus mereka. Sebaliknya mereka cukup cemas dengan ibadat dan penghambaan terhadap Yang Maha Kuasa kerana Ramadan semakin hari semakin menuju penghabisan, macam 'countdown' 5,4,3,1 dan Aidilfitri.
Demikianlah, orang yang asyik dengan Ramadan berasa sedih kerana ia akan berlalu. Tetapi kita ini, termasuk saya sebagai orang awam bagaimana pula? Kita pun tidak sabar dengan 'countdown' 5,4,3,2,1 tetapi akhirannya akan berbunyi 'Hip-hip horee, hip-hip horee, Esok hari raya!' Itulah saya dan sebahagian kita pada era 'jahiliah' (semasa zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa) dulu, tetapi kini saya mulai termenung memikirkan betapa tersasar jauhnya kita dalam menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.
Saya mula tercari-cari Lailatulqadar yang tidak pernah saya temui. Macam mana hendak jumpa sebab saya sama seperti sebahagian besar generasi baru dibesarkan dalam suasana tidak menjuruskan ke arah itu. Ini kerana pengertian Ramadan dan Aidilfitri terpesong terlalu jauh daripada apa saya fahami sejak merajinkan diri menghadiri tazkirah dan kelas-kelas pengajian di masjid sejak beberapa tahun lalu. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya. Dan saya sebagai seorang Melayu terikut-ikut dalam budaya yang berat untuk saya katakan sonsang ini.
Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT. Tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Tataplah akhbar, terpapar kisah makanan dan penyediaan makanan. Gerai menjual makanan muncul di sana sini. Kisah ayam percik, kisah tahi itik, semuanya mewarnai Ramadan.Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan.
Tidak cukup dengan itu muncullah buffet Ramadan di restoran, di hotel. Makan dan makanlah. Ramadan adalah untuk menahan nafsu termasuk mengekang makan dan minum tetapi Ramadan nampaknya adalah bulan untuk memuaskan nafsu makan. Kalau pada siang hari nafsu itu tidak dapat dipuaskan, tidak mengapalah, pada malam hari ia boleh dipuaskan, sepuas-puasnya.
Kemudian muncul pula bazar Ramadan, pasar Ramadan, 'sale' Ramadan dan bermacam-macam lagi perkara yang dikaitkan dengan Ramadan. Ramadan itu adalah untuk mengekang nafsu, tetapi nampaknya Ramadan adalah bulan untuk memuaskan nafsu. Nafsu membeli memuncak pada Ramadan, set perabot yang tidak pernah bertukar boleh bertukar pada Ramadan, langsir yang ok ditukar juga pada Ramadan, peti sejuk yang ok pun ditukar baru, kereta yang ok jadi tak ok pada Ramadan kerana mahu ditukar; malah rumah pun kalau boleh mahu ditukar Ramadan ini.
Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini. Mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, tetapi mereka menyuruh orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul.
Seorang pemimpin sebuah negeri di selatan tanah air, dalam mempromosi aspek pelancongan, mengerahkan penduduk kampung memasang pelita, sebuah kampung dilaporkan menang dan mendapat hadiah lumayan selepas kira-kira 40,000 pelita menerangi kawasannya.
Bayangkan berapa banyak kos diperlukan dan apa yang dapat dikatakan tentang perbuatan membazir amalan syaitan ini? Seorang uztaz mengingatkan pemasangan pelita dengan niat dan pandangan terpesong misalnya percaya ia boleh memudahkan arwah saudara-mara kembali ke rumah masing-masing adalah perbuatan syirik dan merosakkan akidah. Orang taat sibuk dengan solat dan mengenang dosa diri dan nasib dalam kubur, ada penduduk kampung termasuk veteran sibuk bermain cahaya ribuan pelita tujuh likur.
Ketika ini pada ketika segelintir insan bertakwa menangisi Ramadan yang akan berakhir tidak lama lagi, ada kumpulan-kumpulan tertentu bertungkus-lumus menyiapkan program-program lara atas nama kemuliaan Syawal untuk disiarkan di skrin-skrin televisyen. Maka sepanjang raya, terpancar dan berkemundanglah segala program hiburan terutama nyanyian, tidak henti-henti 24 jam sehari.
Berakhir Ramadan, pesta makan-makan berlanjutan, sebulan lamanya. Yalah, kata mereka Syawal itu sebulan lamanya. Jadilah orang Melayu berpaksi kepada makan minum, berpesta, berhibur; pengajaran Ramadan tidak langsung melekat di hati mereka.
Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad.
Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya.
Tujuan Ramadan adalah untuk menghasilkan insan bertakwa dan tawaran Allah SWT, menjanjikan pengampunan dan bebas daripada api neraka sewajarnya menjadi buruan setiap Muslim.
Itulah yang baru saya ketahui sejak akhir-akhir ini menyebabkan saya termenung memikirkan betapa sesat dan songsangnya saya selama ini. Mungkin itu antara sebab mengapa Lailatulqadar yang saya cari, belum terjumpa lagi. - Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _