Monday, February 16, 2009

Pertemuan Dengan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi


Saya meninggalkan sidang untuk berkunjung ke kediaman Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, ulama’ muktabar dunia Islam di pinggir kota Doha. Beliau ditemani puteranya Muhammad.

Syeikh Yusuf merupakan antara ulama’ besar yang menghulur sokongan tatkala saya dizalimi dan diaib lebih 10 tahun lalu. Ilmuan kelahiran Mesir ini telah menulis lebih dari 50 buah kitab yang mengupas pelbagai isu antaranya termasuk Islam: Tamadun Masa Depan.

Syukur kerana kesihatannya pulih meskipun kelihatan letih. Beliau dan keluarga turut menanyakan perihal Azizah tidak bersama.

Perbincangan antara kami pastinya menyentuh tragedi Gaza, pemerintahan baru di Somalia dan juga rundingan penyelesaian isu Darfur di Doha.

Ketegasan beliau terpancar tatkala berbicara perihal dasar Presiden Bush yang rakus menyerang dan menakluk negara lemah. Beliau turut menyuarakan gesaan agar pentadbiran baru yang diterajui Presiden Obama untuk menumpukan usaha membanteras kemiskinan dan menyediakan kemudahan pendidikan.

Pun begitu Sheikh Yusuf menjelaskan pendirian Ittihad Ulama’ (Persatuan Ulama’ Sedunia) yang beliau pimpin terhadap pentadbiran Presiden Obama dengan menjamin kesediaan mengadakan dialog dengan syarat Amerika menghentikan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan serta berlaku adil terhadap rakyat Palestin.

Beliau terus menggalakkan saya meneruskan usaha mengukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta menjelaskan pendirian dengan tegas.

Kami turut menyentuh perkembangan mutakhir di Malaysia dan Indonesia. Selain itu beliau mendorong usaha ke arah pembaharuan sambil meningkatkan usaha daawah dan tarbiyah.

ANWAR IBRAHIM

Wednesday, February 11, 2009

Siapa Beradab dan Siapa Khianat?


FEB 11 — Perak kini berada di dalam kemelut perlembagaan. Media massa yang dikuasai Barisan Nasional sudah dikerahkan untuk memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan rakyat dalam perang propaganda. Pertama, dikatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan insiden lompat ini dahulu. Kedua, Pakatan Rakyat dikatakan khianat terhadap DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sememangnya Anwar telah memulakan jemputan kepada wakil-wakil rakyat BN untuk menyertai Pakatan bagi peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan. Tetapi jemputan Anwar ini dibuat dari awal, secara terbuka.

Malangnya, kali ini tindakan rampasan kuasa BN pimpinan Dato’ Seri Najib Razak diselubungi tipu daya, ancaman dan rasuah. Mula-mula, Dato’ Zainal Abidin Zin, mantan Timbalan Menteri Pertahanan mengakui membawa seorang pemimpin Keadilan Perak berjumpa Najib sejurus selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008. Pemimpin tersebut mendakwa Najib menawarkan wang RM50 juta untuk mendapatkan beberapa wakil rakyat sekaligus menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Selepas itu, YB Osman Jailu dan YB Jamaluddin Osman ditekan dengan pertuduhan rasuah ketika menjadi exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Kemudian, mereka hilang tanpa diketahui semua. Mereka mendakwa mereka cuti sakit, tetapi isteri mereka pun tidak tahu ke mana mereka pergi.

Kini, apakah status pertuduhan rasuah Osman dan Jamaluddin? Dahulu BN bermati-matian menuduh mereka bersalah, tetapi kini wujud dilema: jika mereka didapati tidak bersalah, rakyat akan menganggap itu sebahagian dari perjanjian untuk menyokong kerajaan BN. Jika bersalah dan dihukum, mereka boleh kehilangan kerusi mereka, dan lebih parah lagi, BN akan dianggap sanggup menerima sesiapa sahaja untuk mendapatkan kuasa mereka.

Anwar turut menulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memanggil sidang khas bagi membuat undi tidak percaya kepada kerajaan dalam dewan. Tawaran Anwar juga dibuat dengan tekad untuk membubarkan Parlimen selepas peralihan kuasa agar tindakan itu mendapat mandat rakyat. Tindakan Anwar penuh adab kepada keluhuran perlembagaan dan prinsip demokrasi.

Namun, BN yang sebelum ini berhasrat menggubal undang-undang lompat parti kini diam membisu tentang mendapat mandat rakyat. Dewan Undangan Negeri sebagai institusi legislatif negeri dibelakangkan. Apatah lagi apabila Speaker DUN telah pun memutuskan Osman dan Jamaluddin meletak jawatan. BN boleh mempertikaikan hakikat tersebut, tetapi mereka hendaklah ambil tindakan mahkamah memandangkan Speaker sudah pun membuat keputusan.

Pandangan peribadi saya, tindakan menukar parti bagi seorang wakil rakyat seiring dengan prinsip kebebasan berpersatuan dalam perlembagaan. Pilihan ini membolehkan wakil rakyat mempunyai kuasa ketika berhadapan dengan kuasa eksekutif dan pimpinan parti. Tetapi mereka seharusnya berani berhadapan dengan penilaian rakyat yang boleh mengukur sama ada tindakan mereka dibuat di atas prinsip atau tidak. Tindakan mereka juga hendaklah bebas dari sebarang tekanan, ugutan mahupun habuan.

Tentang persoalan kedua, tindakan ghairah Najib lah yang mahukan peralihan kuasa dibuat dengan apa jua cara yang telah mencemarkan kemuliaan institusi raja berperlembagaan di negara kita. Sekiranya Najib sanggup menggunakan tindakan beradab dengan meminta pembubaran DUN atau persidangan khas DUN seperti Anwar, institusi raja tidak akan terheret di dalam kontroversi ini. Tetapi beliau terlalu ghairah setelah gagal bertarung di dalam gelanggang pilihan raya di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Khairy Jamaluddin pula cuba mengapi-apikan sentimen kononnya Pakatan khianat. Sebelum Mac 2008, Khairy cuba memakai topeng Ultra Melayu agar meraih sokongan. Tetapi selepas 8 Mac yang mana keangkuhan beliau turut dikatakan penyebab kehilangan sokongan BN, beliau berubah watak sehingga kelihatan pandangannya umpama pimpinan Pakatan. Tetapi sekali lagi dalam usaha mendapat sorakan orang ramai, beliau kecundang, memilih jalan pintas.

Pada Mac tahun lepas, penyokong parti mana yang mengibarkan kain rentang memanggil DYMM Sultan Terengganu “natang” (binatang)? Melayu hari ini tidak mudah lupa. Jelas, siapa beradab dan siapa khianat.

Najib menyatakan beliau bukan memulakan peristiwa lompat-melompat. Tetapi Najiblah yang memulakannya secara khianat dan tidak beradab. Pakatan menganjurkan peralihan kuasa, Najib memulakan rampasan kuasa.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Tuesday, February 10, 2009

Kenyataan Balas AMK Terhadap YB Karpal Singh

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberi kenyataan balas ke atas apa yang telah dibangkitkan oleh Pengerusi DAP, YB Karpal Singh di dalam kenyataannya hari ini.

Karpal dilaporkan menggesa Ketua Umum KeADILan yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang berikutan Datuk Seri Anwar dilihat sebagai bertanggungjawab mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan ‘keharmonian’ dalam Pakatan Rakyat.

AMK berpendapat bahawa sandaran fakta yang dinyatakan oleh Karpal adalah sangat samar dan tidak mengambil kira beberapa fakta penting di dalam kronologi kes yang berlaku seusai Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Pendedahan yang dibuat oleh Saudara Fauzi Muda, Ketua KeADILan Bahagian Ipoh Barat bahawa ada usaha untuk membeli beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Perak untuk menyertai BN dengan wang puluhan juta ringgit membuktikan bahawa usaha lompat parti ini dicetuskan dengan jijik oleh Umno-BN di bawah kepimpinan Najib Tun Razak.

AMK juga berharap agar Karpal tidak lupa bagaimana ADUN DAP di Tronoh yang juga Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mendedahkan yang beliau pernah ditawarkan habuan sebanyak RM65 juta untuk melompat ke dalam BN agar BN boleh membentuk kerajaan di Perak.

Apa yang melibatkan Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang didakwa Karpal dipujuk oleh Anwar menyertai KeADILan dan kembali ke dalam Umno 10 hari berikutnya, bukanlah inisiatif baik Anwar mahupun Pakatan Rakyat, sebaliknya sebagaimana yang diperjelaskan oleh Anwar bahawa Datuk Nasaruddin secara ikhlas menemui Anwar untuk menyertai KeADILan. Ini seterusnya diikuti dengan kehilangan Datuk Nasaruddin pada pagi 5 Februari 2009 dan dikhabarkan diculik untuk membuat pengakuan kembali ke dalam Umno sebagaimana yang disahkan oleh keluarga beliau.

Karpal seharusnya dapat membezakan antara lompat parti yang berasaskan idealisme perjuangan ataupun berasaskan habuan kewangan dan ugutan. Tidak timbul mana-mana usaha bahawa Pakatan melalui KeADILan mahupun Anwar memujuk mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN Umno-BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, sebaliknya merekalah di peringkat permulaan yang datang mendekati Pakatan dan menawarkan diri untuk bersama Pakatan dalam perjuangan yang lebih realistik.

AMK percaya keluh kesah Karpal ini adalah berpunca daripada muafakat yang dipupuk oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat secara kolektif oleh kepimpinan ketiga-tiga parti yakni KeADILan, DAP dan PAS yang menolak untuk hajat Karpal untuk menyaman DYMM Tuanku Sultan Perak. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat percaya bahawa apa yang berlaku sebenarnya ialah eksploitasi yang dilakukan oleh Umno-BN melalui Najib untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Justeru dalam hal ini, bukanlah DYMM Sultan Perak yang wajar menjadi sasaran, sebaliknya tindakan Umno-BN dan Najib yang sanggup menghalalkan pelanggaran undang-undang untuk membentuk kerajaan haram BN di Perak.

AMK berharap agar Karpal tidak mudah membiarkan diri beliau dimanipulasi oleh agenda jijik Umno-BN untuk mengganggu-gugat kestabilan Pakatan Rakyat seluruhnya yang telah terbukti mampu memecahkan hegemoni usang Umno-BN. Karpal juga disarankan untuk tidak bertindak secara one man show dalam mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan keputusan yang dicapai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam beberapa isu yang berbangkit mutakhir ini.

Muafakat yang dipupuk ini adalah muafakat yang diinginkan oleh rakyat untuk melihat Malaysia baru dijelmakan dalam konteks politik baru. Justeru adalah sangat malang sekiranya masih ada pihak yang sanggup dipasung minda mereka untuk mengikut arus politik songsang yang dimainkan oleh Umno-BN.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Sunday, February 8, 2009

Perutusan MB Perak, YAB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin


BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri

secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak

Thursday, February 5, 2009

"Pertahan Perak hingga titisan darah terakhir"


IPOH, 6 Feb (Hrkh) - "Kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sehingga ke titisan darah terakhir," demikian penegasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya yang membanjiri kediaman rasmi malam tadi.
Iklan




Beliau yang memberi ucapan yang berapi dan penuh semangat demi mempertahankan kerajaan rakyat daripada dirampas oleh kerajaan BN.

Nizar dalam ucapan penutupnya itu berjanji akan berjuang habis-habisan untuk merobohkan Umno dan BN yang telah membuat rakyat negeri ini huru-hara.

Beliau juga berkali-kali membuat penegasan tidak akan meletak jawatan Menteri Besar biarpun sudah mendapat arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

Terdahulu, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat diberi peluang memberi ucapan antaranya, Exco Kanan Perak, Ngeh Koo Ham; Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub; Ketua Muslimat PAS,Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Orang ramai mula membanjiri kediaman Menteri Besar seawal jam 6 petang sebaik sahaja mendapat maklumat permit untuk berhimpun di Stadium Ipoh tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Suasana agak luar biasa, apabila rakyat berbilang bangsa Melayu, Cina dan India datang berduyun-duyun mendengar amanat pimpinan mereka, walaupun terpaksa duduk di atas rumput yang basah dek hujan turun bermula tengah hari itu.

Apa yang dikesali pihak polis pula bertindak menyekat laluan utama ke kediaman Menteri Besar pada seawal jam 7 malam menyebabkan orang ramai terpaksa berpatah balik.

Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa itu tidak mematahkan semangat rakyat Perak untuk sama-sama menunaikan solat hajat serta mendengar amanat pimpinan mereka di dalam dewan tertutup dihadapan perkarangan rumah menteri besar.

Sebaik selesai solat hajat, tiga buah trak polis yang membawa hampir 100 anggotanya tiba di pintu pagar utama kediaman, bagaimanapun tindakan pantas petugas Unit Amal bergegas membuat benteng di hadapan pagar untuk menghalang sebarang provokasi yang timbul.

Kain rentang yang tertulis ' Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan Dun Perak' dan 'Menuntut Bubarkan Dun, Kembalikan Kuasa Rakyat', jelas menggambarkan hasrat dan harapan rakyat yang menggunung tinggi terhadap kuasa Sultan.

Beberapa orang di kalangan hadirin yang ditemui masing-masing melahirkan kemarahan terhadap BN merampas kerajaan Perak tanpa saluran yang sah.

Seorang warga Tronoh berbangsa Cina, Hon Eng Kee, 47, yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap BN yang merampas kuasa secara tidak adil.

"Sepatutnya ada pilihan raya kecil, kita rakyat Perak harap Sultan dan BN keadilan dan demokrasi, kami tidak terima keputusan Sultan dan kami tidak puas hati," katanya.

Beliau juga berharap agar pilihan raya baru diadakan dalam masa terdekat.

Hon, juga beranggapan seperti wujudnya politik wang sehingga menyebabkan BN sanggup mengambil tindakan ini.

Sementara itu, Jayabalan, 28, yang berasal dari Ipoh pula kecewa dengan cara BN merampas kuasa.

"Tindakan mereka, seolah-olah membuat undang-undang sendiri sehingga mencetuskan huru-hara. BN tipu dan sultan tidak adil,"katanya.

Ditanya tujuan kehadiran beliau ke situ, katanya semata-mata untuk menyokong Menteri Besar Nizar yang dilihat ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab rakyat.

Turut sama menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan BN di luar undang-undang iaitu Pravajaran, 25.

"Pentadbiran Pakatan Rakyat, ok... kerana ia membela nasib semua bangsa, kita tidak mahu tukar kerajaan yang sedia ada dan kita tetap sokong MB Nizar," katanya berharap pilihan raya dapat dijalankan.

Di akhir ceramah itu, orang ramai mengangkat ikrar akan sentiasa patuh kepada perlembagaan dan terus menjunjung kasih Sultan. - mks. _

Hon iringi sokongan kepada Nizar


kemaskini 11.50pm Dari jam 10 malam hingga saat ini, kenderaan yang bertali arus di depan kediaman rasmi menteri besar terus-menerus membunyi hon selama hampir dua jam - dipercayai menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Ribuan orang masih berkumpul di tepi-tepi jalan di luar kediaman tersebut dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan bersurai.

kemaskini 11.00pm Ceramah berakhir secara aman dengan bacaan doa. Menteri besar Pakatan itu berucap, sementara beberapa pemimpin atasan gabungan itu tidak berceramah.

Orang ramai diseru bersolat Jumaat esok di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

kemaskini 10.45pm Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata beliau dan Adun Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir esok walaupun mereka juga diundang.

Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak akan mengiktiraf sama sekali kerajaan baru BN dan akan terus membantahnya bersama rakyat di seluruh negeri.

Kira-kira 6,000 orang berada di kediaman rasmi itu.

kemaskini 9.16pm Kira-kira 2,000 orang berhimpun di kediaman rasmi menteri besar Perak, menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Mereka melaungkan "reformasi", "jatuh BN" dan "hidup rakyat" sementara menunggu ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat mulai jam 10 malam ini.

Mesyuarat barisan pemimpin atasan gabungan pembangkang itu petang tadi memutuskan untuk mempertahankan jawatan menteri besar itu.

kemaskini 8.45pm Tokoh lama Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan perkembangan krisis peralihan kuasa kepada BN di Perak kini sebagai "babak-babak yang memalukan."

Menulis di blog peribadinya awal malam ini, ahli parlimen Gua Musang berkata hanya ada dua cara untuk menguji sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat itu - pillihanraya negeri atau usul tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Menjatuhkan dan menaikkan sesuatu kerajaan dengan cara-cara lain adalah bertentangan dengan Perlembagaan, menghakis kedaulatan undang-undang dan membawa risiko membentuk sebuah kerajaan yang tidak sah," katanya.

10 ribu warga Perak, kini berkumpul di kediaman MB

IPOH 5 Feb (Hrkh) - TERKINI: Susulan keengganan Menteri Besar dan seluruh Exco Kerajaan Perak meletakan jawatan. Jam 9.30 malam ini, lebih 10 ribu penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat dari pelbagai kaum memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perak bagi menyatakan sokongan kepada Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.
Iklan




Ketika ini, ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Rakyat sedang dilangsungkan di perkarangan kediaman tersebut. Semua 28 Adun Pakatan Rakyat Perak hadir disamping beberapa pemimpin lain seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' dato' Ghazali, Ahli Parlimen Siputeh, Teresa Kok dan Adun-adun Pakatan Rakyat dari Selangor.

Bekalan elektrik di kediaman Menteri Besar itu dijangka akan diputuskan pada bila-bila masa sahaja bagi menghalang sebarang aktiviti diadakan oleh Pakatan Rakyat. Arahan memutuskan bekalan elektrik ini dipercayai arahan dari pihak BN, yang kinik ghairah untuk membentuk kerajaan esok.

Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kini masih berada di luar pintu masuk utama kediaman rasmi tersebut dan turut sama mendengar ceramah yang diadakan. Mereka mengawasi keadaan di sini bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diinginan dari terjadi.

Wednesday, February 4, 2009

Perhimpunan sokong MB Perak


Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepada beliau dalam menghadapi situasi politik yang tidak menentu di negeri itu.

anwar ibrahimKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang berlalu di Perak.

"Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi satu mesyuarat di ibupejabat PKR di ibunegara malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalannya, Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

'Situasi tidak menentu'

Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak.

"Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

nasarudin hashimDitanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.

'Kembali kepada rakyat'

Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanAnwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan.

"Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau speaker. Kamu adalah exco, orang dij alanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka.

"Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah

"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

Perhimpunan Selamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Hari ini (5 Feb)

Sebaran Media
5 Februari 2009

Perhimpunan Selamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Hari ini (5 Feb)

Perhimpunan 100 ribu rakyat akan diadakan hari ini (5 Feb) pada jam 7 malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat, bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan menuntut agar hak rakyat dikembalikan.

Berikut adalah mesej khas dari Datuk Seri Anwar Ibrahim buat semua penyokong Pakatan Rakyat:

“Pertahankan Kuasa Rakyat - Saya bersama Menteri Besar dan Pakatan Rakyat esok Khamis 7:30 malam di Ipoh. Saya yakin, Insyallah rakyat yang menentukan.”

Semua penyokong Pakatan Rakyat dan aktivis diminta hadir untuk memberi sokongan.

BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT