IPOH, 6 Feb (Hrkh) - "Kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sehingga ke titisan darah terakhir," demikian penegasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya yang membanjiri kediaman rasmi malam tadi.
Iklan
Beliau yang memberi ucapan yang berapi dan penuh semangat demi mempertahankan kerajaan rakyat daripada dirampas oleh kerajaan BN.
Nizar dalam ucapan penutupnya itu berjanji akan berjuang habis-habisan untuk merobohkan Umno dan BN yang telah membuat rakyat negeri ini huru-hara.
Beliau juga berkali-kali membuat penegasan tidak akan meletak jawatan Menteri Besar biarpun sudah mendapat arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.
Terdahulu, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat diberi peluang memberi ucapan antaranya, Exco Kanan Perak, Ngeh Koo Ham; Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub; Ketua Muslimat PAS,Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Orang ramai mula membanjiri kediaman Menteri Besar seawal jam 6 petang sebaik sahaja mendapat maklumat permit untuk berhimpun di Stadium Ipoh tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Suasana agak luar biasa, apabila rakyat berbilang bangsa Melayu, Cina dan India datang berduyun-duyun mendengar amanat pimpinan mereka, walaupun terpaksa duduk di atas rumput yang basah dek hujan turun bermula tengah hari itu.
Apa yang dikesali pihak polis pula bertindak menyekat laluan utama ke kediaman Menteri Besar pada seawal jam 7 malam menyebabkan orang ramai terpaksa berpatah balik.
Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa itu tidak mematahkan semangat rakyat Perak untuk sama-sama menunaikan solat hajat serta mendengar amanat pimpinan mereka di dalam dewan tertutup dihadapan perkarangan rumah menteri besar.
Sebaik selesai solat hajat, tiga buah trak polis yang membawa hampir 100 anggotanya tiba di pintu pagar utama kediaman, bagaimanapun tindakan pantas petugas Unit Amal bergegas membuat benteng di hadapan pagar untuk menghalang sebarang provokasi yang timbul.
Kain rentang yang tertulis ' Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan Dun Perak' dan 'Menuntut Bubarkan Dun, Kembalikan Kuasa Rakyat', jelas menggambarkan hasrat dan harapan rakyat yang menggunung tinggi terhadap kuasa Sultan.
Beberapa orang di kalangan hadirin yang ditemui masing-masing melahirkan kemarahan terhadap BN merampas kerajaan Perak tanpa saluran yang sah.
Seorang warga Tronoh berbangsa Cina, Hon Eng Kee, 47, yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap BN yang merampas kuasa secara tidak adil.
"Sepatutnya ada pilihan raya kecil, kita rakyat Perak harap Sultan dan BN keadilan dan demokrasi, kami tidak terima keputusan Sultan dan kami tidak puas hati," katanya.
Beliau juga berharap agar pilihan raya baru diadakan dalam masa terdekat.
Hon, juga beranggapan seperti wujudnya politik wang sehingga menyebabkan BN sanggup mengambil tindakan ini.
Sementara itu, Jayabalan, 28, yang berasal dari Ipoh pula kecewa dengan cara BN merampas kuasa.
"Tindakan mereka, seolah-olah membuat undang-undang sendiri sehingga mencetuskan huru-hara. BN tipu dan sultan tidak adil,"katanya.
Ditanya tujuan kehadiran beliau ke situ, katanya semata-mata untuk menyokong Menteri Besar Nizar yang dilihat ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab rakyat.
Turut sama menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan BN di luar undang-undang iaitu Pravajaran, 25.
"Pentadbiran Pakatan Rakyat, ok... kerana ia membela nasib semua bangsa, kita tidak mahu tukar kerajaan yang sedia ada dan kita tetap sokong MB Nizar," katanya berharap pilihan raya dapat dijalankan.
Di akhir ceramah itu, orang ramai mengangkat ikrar akan sentiasa patuh kepada perlembagaan dan terus menjunjung kasih Sultan. - mks. _
1 comment:
Saya kira sudah tiba masanya kita melakukan kembali reformasi.
Benar, demonstrasi jalanan bukan budaya kita. Melihat kepada korupsi pentadbiran negara kita, saya katakan sudah tuba masanya kita membudayakannya.
Kadang-kala, akibat pemimpin yang skeptikal, rakyat terlalu takut untuk memulakan langkah pertama.
Post a Comment