Monday, January 5, 2009

Penegakkan Keadilan Lebih Awla (Utama) Dari Perlaksanaan Hudud


SAAT kegawatan politik semakin memuncak di Kuala Terengganu ekoran pilihan raya kecil Januari ini, media massa nampaknya berusaha keras untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat (PR) dengan isu hudud kerana mereka menjangkakan inilah isu yang boleh membuatkan PAS bergaduh dengan DAP.
Iklan




Mereka mengharapkan PAS akan kehilangan sokongan masyarakat bukan Islam. Sudah banyak pihak yang membuat ulasan tentang kebobrokan media ini yang sentiasa menjadi alat BN menjelang pilihan raya. Lihatlah bagaimana isu liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan rasuah oleh Exco Perak dibesar-besarkan, kemudian berita itu senyap begitu sahaja.

Isu hudud tidak menjadi rahsia bagi PAS kerana telah jelas pendirian PAS dalam soal ini. Tujuan perjuangan PAS untuk menegakkan hukum dan nilai-nilai Islam dalam masyarakat bersandarkan al-Quran dan Sunnah. Apa sahaja yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., itulah yang menjadi cita-cita perjuangan PAS. Matlamat akhir perjuangan PAS tidak pernah disembunyikan dan semua pihak menyedari hakikat ini.

Cuma, yang berbeza adalah strategi gerakan PAS. Selain hukum hudud yang begitu elergik bagi parti perkauman Umno, al-Quran dan Sunnah mengajarkan kepada kita pelbagai perkara meliputi setiap aspek kehidupan.

Menegakkan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran serta menghapuskan kezaliman, penyelewengan dan salah laku juga merupakan sebahagian ajaran Islam yang wajib dilaksanakan oleh PAS sama seperti melaksanakan hudud, atau sama dengan kewajipan sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difahami oleh pemimpin Umno. Tidak ada bezanya.

Sebagaimana komitednya PAS terhadap sembahyang, begitulah komitmen PAS terhadap hudud dan qisas. Begitu jugalah keazaman PAS untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman dalam masyarakat dan negara. Hari ini, PAS merasakan bahawa perjuangan menegakan keadilan dan menghapuskan kzaliman lebih aula (utama) daripada memperkatakan tentang hukum hudud akibat kekeliruan yang diada-adakan oleh Umno dan BN.

Pemimpin Umno mungkin tidak faham mengapa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah yang saban tahun kita merayakannya. Ketika berada di Makkah, Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai masalah atau halangan untuk beribadat kepada Allah, bahkan ada sahabat yang mendapat perlindungan pemimpin Quraisy tertentu untuk mereka beribadat. Tetapi yang membuatkan Rasulullah s.a.w. terpaksa meninggalkan bumi kelahirannya adalah apabila keadilan dan kesaksamaan tidak dapat ditegakkan ekoran penolakan hukum-hukum Allah.

Dalam masyarakat Arab jahiliah di Makkah, perbuatan membunuh anak, berperang, berzina, minum arak, perhambaan, menghina kaum wanita dan sebagainya sudah menjadi tradisi yang begitu sukar dihapuskan.

Kerosakan seperti ini tidak boleh diubah atau dibaik pulih hanya dengan sembahyang atau mengerjakan haji sahaja, tetapi ia memerlukan komitmen politik untuk melaksanakan perubahan. Kerana 'political will' inilah, Rasulullah s.a.w. memilih untuk berhijrah ke Yathrib (Madinah) disebabkan sokongan telah diterima daripada penduduk Yathrib untuk mengangkat Baginda sebagai pemimpin.

Di Madinah, Baginda s.a.w. telah memperlihatkan bagaimana keadilan Islam dilaksanakan ke atas orang-orang bukan Islam, khususnya orang Yahudi yang terkenal anti-Islam seperti mana yang terkandung dalam Piagam Madinah. Kemudian, sedikit demi sedikit, hukum Islam dikuatkuasakan sehingga negara Islam yang termasyhur adil itu berjaya ditegakkan di Madinah.

Semua isu yang diperkatakan sebelum kedatangan Islam sama ada soal hak asasi manusia, hubungan kaum, penindasan terhadap wanita, pembunuhan kanak-kanak, peperangan, penindasan riba hinggalah kepada isu-isu akhlak seperti zina, mabuk dan seumpamanya berjaya diselesaikan.

Hanya satu sahaja mekanisme yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Kerana itulah, PAS dari sejak hari kelahirannnya menyatakan komitmen tidak berbelah bagi untuk meniru bulat-bulat pendekatan Rasulullah s.a.w. dalam membina individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Maknanya, setiap kali tiba hari tahun baru Hijrah, komitmen ini akan diperbaharui oleh PAS. Seruan 'Maal Hijrah' itu memberikan pengertian yang jelas supaya seluruh rakyat mengambil sikap dan melaksanakan jihad untuk berhijrah daripada semua amalan yang tidak baik kepada amalan-amalan mulia. Tidak ada gunanya kita menyambut Maal Hijrah, tetapi kita terus mengamalkan rasuah, melakukan penyelewengan, menzalimi rakyat dan mengagihkan kekayaan negara kepada kroni dan kaum keluarga. Kita meninggalkan perintah Allah dalam mentadbir dunia, sedangkan dunia ini kepunyaan Allah.

Suasana masyarakat kita hari ini sudah menghampiri apa yang berlaku dalam masyarakat Arab Jahiliah dahulu, hanya selepas 150 tahun sekularisasi berlaku di negara ini. Isu-isu penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin sudah tepu di kepala kita. Bagi orang Islam, hak mengamalkan agama mereka telah dinafikan. Orang-orang bukan Melayu dipinggirkan kerana sentimen perkauman yang sempit.

Dan hari ini, ciri-ciri jahiliah ini telah bertukar menjadi bala apabila berlaku tsunami, tanah runtuh, ribut taufan, banjir besar dan sebagainya tak ubah seperti bala yang dialami oleh umat Nabi Nuh, Hud, Luth, Salleh dan sebagainya. Hanya satu sebab. Mereka enggan menerima perintah Allah!

Kita masih mempunyai peluang untuk membetulkan diri dengan cara kita membebaskan diri daripada amalan politik zalim dan selewengan BN hari ini. Apapun yang berlaku hari ini, Kerajaan BN mesti bertanggungjawab kerana merekalah yang mengamalkan rasuah, kronisme, nepotisme, kezaliman, penindasan, penyelewengan dan salah laku dalam pentadbiran kerajaan.

Ini bukan salah PAS atau DAP atau KeADILan. Kami menegur, mereka memandang sinis. Kini, yang berkuasa adalah rakyat kerana mereka yang boleh mengubah kerajaan yang ada kepada kerajaan baru yang adil dan berkebajikan. Rakyat perlu berhijrah sekarang dengan menolak kezaliman BN dan kembali kepada keadilan sejati yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Bagi masyarakat dan pengundi di Kuala Terengganu, mereka boleh menghantar mesej ini kepada BN dan juga rakyat seluruhnya. Pendirian pengundi di Kuala Terengganu adalah mewakili kemahuan rakyat seluruhnya.

Dalam semangat Hijrah ini, pengundi di Kuala Terengganu perlu bersedia untuk berhijrah meninggalkan kepercayaan lama dan karut bahawa hanya BN sahaja boleh memerintah. Keyakinan baru yang mesti ditanam adalah mereka yang lebih adil harus diberikan peluang untuk mentadbir demi kebaikan semua.

Merdekakan diri kita demi masa depan negara. Ayuh! Inilah masa yang terbaik untuk rakyat Malaysia khususnya pengundi Kuala Terengganu memulakan gerakan untuk mengurangkan jumlah penguasaan kerusi parlimen BN dengan menambahkan jumlah kerusi bagi Pakatan Rakyat khususnya PAS di dalam Parlimen Malaysia. Berhijrahlah demi sebuah keadilan dan kebajikan. Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430.- tajdid_

No comments: